Sekian lama hati ini tidak berbicara. Sepi dari alam maya dek kesibukan duniawi yang makin bertambah. Rasa hati ini ingin diluah namun tiada yang sudi. Hanya bertemankan karya maya ini aku mampu meluahkan rasa hati ini.
Alhamdulillah, aku telah dimakbulkan doaku untuk mengambil jurusan Senibina Dalaman ini. Di dalam masa 3 tahun lagi aku akan dikurniakan Ijazah Sarjana Muda Senibina Dalaman (Kepujian), Insyaallah. Namun rasa hati ini gusar mencari apakah yang aku inginkan sebenarnya. Adakah hidup sia-sia ataupun hidup berbakti ? Hati ini sering kali bertanya pada diri, bakti apa yang ingin aku sumbangkan ?
Aku telah ditauliahkan sebagai seorang pegawai tentera di dalam Pasukan Simpanan Sukarela TUDM. Namun sehingga sekarang, perjalanan kerjayaku terhenti di sini. Setiap minggu aku akan melatih pegawai kadet untuk menjadi seorang pegawai. Bukan itu yang ku mahu setelah pentauliahan. Aku ingin mempunyai skuadron aku sendiri. Tempat di mana fungsi aku sebagai pegawai dapat disempurnakan. Tempat untuk aku mencurahkan kepimpinan. Memang itu yang aku mahukan. Menjadi seorang pemimpin. Aku menyertai pasukan ini bukan kerana pangkat jauh sekali ingin mendabik dada. Aku menyertai di atas alasan untuk melindungi orang yang aku sayangi di samping mengasah minatku lebih mendalam terhadap kehidupan sebagai seorang tentera. Namun tiada yang mendengar. Aku pada asalnya tidak meminati kehidupan tentera ini kerana aku takut. Aku takut dengan cabaran. Memang tidak ku nafikan, pengalamanku menjadi Budak Boy mengajar aku erti patriotik dan kepentingan mengharungi cabaran. Kerana di situlah titik permulaan kehidupan ketenteraanku. Rasa hati ini ingin berbakti. Aku ingin membuktikan disiplin tentera yang tersemai inilah yang telah membentukku menjadi seorang manusia yang layak untuk menabur bakti.
Memang ada suara mengatakan kita tidak perlu mengangkat senjata untuk menabur bakti. Tetapi, apakah yang anda sanggup lakukan apabila tiba masa yang getir ? Inilah yang dinamakan pertahanan diri. Sejauh manakah aku sanggup pergi untuk menabur bakti ? Aku sendiri masih tertanya-tanya. Namun, rasa hati ini sanggup pergi jauh demi menjaga keamanan.
Aku masih lagi pelajar. Setahun lagi hampir kesemua rakan-rakanku akan pergi meninggalkan aku. Mereka akan menamatkan pengajian di dalam bidang masing-masing. Tinggalah aku sendiri memikul rasa hati cemburu melihat mereka. Di sebalik itu, aku akur dengan pilihan hatiku ini. Kerana pilihan hati ini tidak pernah mungkir dalam membuat keputusan. Puitis jiwa terhadap senibina mendorongku untuk mengikut jejak ayahandaku di dalam senibina. Rasa hati ini mempunyai impian untuk bergelar Arkitek ternama. Sebaris dengan nama Hijjaz Kasturi, Norman Foster, Raja Bahrain dan Saidina Umar Al Khattab. Ramai yang bertanya mengapa aku pilih jalan ini. Jawapanku mudah, ini jihadku.
Bukan aku ingin mendabik dada. Jauh sekali ingin bongkak. Tetapi ini adalah kebanggaan keluargaku. Sinar harapan kepada anak-anak muda selepas aku. Biarlah mereka mempunyai rasa hati ingin berjaya sepertiku dalam mengejar jihad mereka. Rasa hati ini berpendapat tiada salahnya kita mengukir nama di persada dunia. Tiada salah kita berbangga dengan hasil titik peluh kita dalam mengejar kemajuan. Asalkan seiring dengan kemajuan akhirat. Segala kekayaan duniawi adalah untuk dikongsi dengan mereka yang kurang bernasib baik. Rasa hati ini tidak pernah salah dalam mencapai impian. Akan ku buktikan rasa hati ini. Biarlah apa pun kata rasa hati mereka yang tidak pernah jemu dengki dan cemburu terhadap rasa hatiku, asalkan perananku sebagai khalifah disempurnakan. Bukan dengan hati sahaja, tetapi dengan segala pengaruhku, kekuasaanku, hartaku dan tanganku sendiri.
Rasa hati ini juga ingin mengenali diri ini. Mengenali sifat kesenian ada pada hati ini. Aku ingin mengenali diri aku sendiri. Mustahil sentuhan seni tiada dalam diriku. Ayahku seorang insan seni. Memang ada sentuhan seni itu, cuma aku perlu mencari dan mengeluarkannya. Sedikit demi sedikit aku berjaya namun jauh lagi perjalananku. Akan ku tempuhi demi mencari diri sebenar.
Rasa hati ini juga khilaf dalam memelihara hubungan kekeluargaan. Susah senang adalah bersama. Namun hati ini berasa telah dibuang dari saudara mara. Dek terpalit oleh kata-kata kurang manis didengar seolah hati ini dan hati adik-beradikku meminggirkan mereka. Hakikatnya, hati ini yang telah dipinggir kerana ingin berdikari. Aku berjaya di atas usahaku sendiri. Bukan kerana kebergantungan kepada mana-mana pihak.
Hati ini juga telah berdosa dengan Yang Maha Besar. Hati ini telah melakukan dosa besar dengan berpaling jauh dari ajaran-Nya. Hati ini berasa amat kesal. Kesal di atas dosa kepada insan lain dek mengikut nafsu serakah yang menguasai diri. Aku ingin berubah. Biarlah perlahan, asalkan berubah ke arah yang lebih baik. Hati ini pernah jatuh dan jatuh lagi. Namun hati ini kini mula bangkit. Mengejar dan menyedari diri sebenar. Menyedari tiada apa yang dapat mengubah hati ini menjadi seperti kemahuan mereka. Hati ini teguh dan tetap dengan pendiriannya. Hati ingin melupakan segala yang telah berlaku. Namun dosa semalam akan hati ini bawa demi memohon keampunan Yang Maha Esa. Diharap hati ini sentiasa mendapat hidayah daripada-Nya dalam menempuh jangkauan mendatang.
Semalam hari yang gundah. Hari ini lebih baik dari semalam. Hari esok ku lihat cahaya keluar dari terowong yang gelap.
No comments:
Post a Comment